
Risalah Buat Setiap Muslim dan Muslimah.
Bagaimana seandainya Rasulullah s.a.w menziarahi kita?

Saudara saudariku yang dikasihi dan dimuliakan...
Seandainya dikhabarkan kepadamu bahawa esok seorang pemimpin besar akan berkunjung ke rumahmu, apakah yang akan kau lakukan untuk menyambutnya?
Adakah kamu akan bersegera membersihkan rumahmu, menghiasinya, menyegarkan ruangannya dengan wangian yang termahal sebagai persembahan buat tetamu besar yang sangat istimewa itu?
Ya, semua ini pasti akan dilakukan, kerana lazimnya begitu. Semakin tinggi pangkat dan kedudukan tetamu itu, maka semakin megah dan meriah pula sambutannya.
Maka saudara saudariku yang dikasihi...
Cuba bayangkan bagaimana sekiranya tetamu yang mulia itu adalah Nabi Muhammad s.a.w... Rasulullah sendiri yang bakal menziarahi rumahmu. Bayangkan, dan cuba bayangkan bahawa sesungguhnya sebaik-baik manusia itu akan benar-benar datang menziarahimu.
Tetamu ini bukan sekadar seorang menteri, bukan sekadar pemimpin bahkan di sepanjang sejarah sekalian manusia, baginda adalah sebaik-baik manusia yang pernah memijakkan kedua kakinya di muka bumi ini.
Dengan kehadiran risalah ini, kami ingin mengajak anda untuk merenung dan membayangkan bagaimana sikap kita jika diziarahi oleh sebaik-baik makhluk ini.

Di rumah
Saudara saudariku yang tercinta... seandainya sekarang Nabi s.a.w mengetuk pintu rumahmu, apakah yang akan kau lakukan untuk menyambutnya? dapatkah kau segera menghampiri pintu seraya membukanya lantas mengucapkan marhaban kepada nabimu diiringi dengan deraian air mata kebahagiaan yang berlinangan dari kedua matamu?
Dapatkah kau dengan segera mempersilakan nabi memasuki rumahmu dengan untaian kata "Allahuakbar! Rasulullah sekarang berada di rumahku, inilah suasana yang paling bahagia dalam hidupku!"...?
Adakah semua ini dapat kau lakukan? Ataupun kau sebaliknya akan berkeluh kesah, risau, gementar pada saat kau mendengar ketukan di pintu? Adakah kau akan berlari dengan cepat masuk ke dalam bilikmu dahulu untuk menyembunyikan gambar-gambar penyanyi atau artis-artis idolamu dan menggantikannya dengan ayat-ayat Al-Quran?
Adakah kau akan mencabut saluran isytirak ataupun membuang channel artis-artis lucah di televisionmu?
Adakah kau akan membuka komputermu untuk membuang segala file-file yang tidak layak untuk dilihat?
Adakah kau akan menyambut nabi dalam keadaan rokok di tanganmu?
Adakah kau akan lakukan semua ini?!
Bayangkan kau akan berhadapan dengan baginda s.a.w, duduk bersama baginda, terpaku dengan keindahan kata-kata baginda s.a.w, serta tidak berpaling sedikitpun matamu dari melihat wajahnya yang bercahaya. Lalu, cuba bayangkan bahawa nabi s.a.w akan tetap bersamamu sebulan penuh? Adakah kamu akan merasa gembira atau sebaliknya merasa keluh kesah?
Adakah kau dapat bersikap seperti para sahabat yang saling berlumba-lumba ingin menamukan baginda s.a.w ketika sampainya baginda di Madinah buat kali pertamanya? Atau kau takut dan malu membayangkan apa akan terjadi di sepanjang bulan ini?
Adakah agaknya Rasulullah s.a.w akan merasa gembira melihat kau yang meringan-ringankan solat atau meninggalkan solat jemaah?
Adakah baginda akan mendapati kamu sentiasa membaca Al-Quran? Atau adakah komik-komik, dan novel-novel cinta yang tidak berfaedah yang menjadi bacaanmu?
Adakah baginda s.a.w akan mendapati kau beramah mesra bersama ahli rumahmu dengan muamalah yang terdidik dan mendidik, atau baginda hanya akan mendengar suaramu yang tinggi dan menyaksikan tanganmu yang melampau dan lidahmu yang selalu memuntahkan kata-kata yang kotor dan keji di hadapan Rasulullah, sedangkan dahulu baginda pernah bersabda:"Orang yang terbaik dikalangan kalian adalah orang yang paling baik perlakuannya terhadap keluarganya." (H.R Ibn Majah)

Semasa Bekerja
Itu seandainya nabi s.a.w menziarahi rumahmu. Bagaimana pula jika nabi s.a.w menziarahi tempat kerjamu?
Apakah yang akan kita katakan jika Rasulullah s.a.w sendiri menyaksikan keremehanmu dalam berkerja?
Apa yang ingin kita katakan kepada baginda s.a.w sedangkan baginda sendiri pernah bersabda: "Sesungguhnya Allah swt mencintai seseorang di antara kamu yang apabila dia bekerja, dia akan menyempurnakan kerjanya dengan sebaik mungkin." (H.R. Thabrani)
Apa yang akan kita katakan kepada baginda sedang baginda menyaksikan rasuah (yang dinamakan penghargaan, hadiah...) berjalan dengan mudahnya dalam menyelesaikan muamalah.
Apa yang akan kita katakan sedangkan baginda s.a.w bersabda: " Allah swt melaknat perasuah dan orang yang dirasuah dan perantaranya." ?
Apa yang akan kita katakan kepada nabi s.a.w jika baginda melihat kecurangan berlaku dalam perniagaan jual beli sedangkan baginda telah bersabda: "Barangsiapa yang menipu kami, maka dia bukan dari golongan kami."
Di Jalanan
Dan bagaimana pula jika sekiranya nabi s.a.w berjalan bersama-samamu di jalan-jalan yang selalu kamu lalui?
Adakah baginda s.a.w akan merasa senang sedangkan saban waktu baginda mendengar jutaan ungkapan-ungkapan kotor dan keji melumuri mulutmu?
Adakah kamu dapat menggambarkan betapa marahnya baginda apabila lidahmu dengan sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan-tuduhan kepada orang ang soleh? Sedangkan baginda s.a.w telah bersabda: "Jauhilah olehmu tujuh perkara" dan diantaranya disebut "menduh perempuan-perempuan baik melakukan zina."?
Adakah Rasulullah s.a.w akan merasa redha melihat wanita-wanita dan anak-anak permpuan berjalan di jalanan tanpa mengenakan hijab, bahkan mengenakan busana-busana yang mengundang fitnah di kalangan pemuda?
Adakah Rasulullah s.a.w akan mengatakan bahawa wanita yang bertabarruj itu adalah dari umatnya? Adakah baginda akan mengatakan begitulah Siti Khadijah, Siti 'Aisah dan juga Asma'?
Adakah baginda s.a.w akan merasa gembira menaksikan masjid-masjid yang sunyi? Adakah baginda s.a.w akan merasa redha melihat arak dan judi bertebaran di negara-negara Islam?

Keadaan Ummah
Apakah yang akan kau katakan kepada Rasulullah s.a.w sekiranya baginda bertanya tentang keadaan kaum muslimin sekarang?
Adakah kamu akan berdusta dengan mengatakan bahawa kaum muslimin dalam keadaan baik, atau kamu punya satu keberanian untuk mengatakan kepada kekasihmu s.a.w bahawa keadaan kita saat ini sangat terhina?
Al-Aqsa, tempat isra'nya Rasulullah s.a.w telah dirampas oleh orang yahudi, bahkan mereka mahu menghancurkannya!
Kaum muslimin dibunuh saban pagi dan petang di Palestin, Iraq, Afghanistan, Chechen, Kasymir, dan seluruh tempat!
Apakah yang akan kita katakan kepada baginda sedangkan baginda s.a.w telah bersabda: "Kehormatan darah seorang muslim sesungguhnya lebih besar nilainya di sisi Allah daripada kehormatan Ka'bah"?
Sekiranya kamu ceritakan kesemuanya ini kepada Rasulullah s.a.w...
Bayangkan pertanyaan baginda kepada kamu, "Apakah yang telah kamu lakukan untuk membantu saudara-saudaramu kaum muslimin? Adakah kamu tidak pernah mendengar sabdaku? Sesiapa yang tidak mengambil berat akan urusan kaum muslimin maka dia bukan dari golongan mereka."
Kamu ada jawapan untuk soalan itu?!
Bagaimana pula jika sekiranya Rasulullah s.a.w menuntut separuh daripada hartamu untuk digunakan di jalan dakwah?
Adakah kau akan segera memenuhinya sepertimana yang dilakukan oleh saidina Umar Al-Khattab, ataupun kamu akan berikan sahaja kesemua hartamu sepertimana dilakukan oleh Abu Bakr as-Shiddiq r.a? Ataupun kamu masih teragak-agak, bakhil dan mencari alasan dengan keuzuran-keuzuran?
Saudaraku yang tercinta...
Bayangkanlah bagaimana kemarahan Rasulullah s.a.w tatkala baginda melihat negara-negara kita berhukum dengan hukum selain daripada yang disyariatkan Allah swt.
Khayalkan bahawa nabi s.a.w terdengar bahawa agama ini tempatnya kini hanya di dalam masjid sahaja. Adakah baginda akan redha dengan itu?
Sedangkan baginda adalah seorang pemimpin dan juga ketua negara bagi negara Islam yang pertama. Adakah Rasulullah s.a.w akan merasa gembira dikala melihat kelemahan kaum muslimin yang lemah berdepan dengan kezaliman dan kerosakan, sedangkan baginda pernah bersabda: "Seafdhal-afdhal jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemimpin yang menyimpang."

Saudaraku yang dikasihi...
Adakah kamu membaca tulisan ini hanya dengan kedua matamu ataupun kamu sertakan merasainya dengan hatimu?
Adakah kamu membacanya dengan penuh iktibar... Adakah kamu telah memikirkan setiap kalimatnya dengan akal yang telah Allah anugerahkan kepadamu?
Adakah kamu sekarang merasa bahawa sebenarnya kamu tidak bersedia untuk diziarahi dengan ziarah singkat nabi s.a.w ini?
Fikirkanlah serta tanya dirimu...
Adakah kekasih kita nabi s.a.w akan memanggil kita di hari kiamat, "Ummatku... ummatku..."
Atau baginda akan berkata "Merenggang-rengganglah... jauh-jauhlah..."
Saudaraku yang dikasihi...
Sekiranya Nabi Muhammad s.a.w tidak melihatmu maka sesungguhnya Tuhan Muhammad s.a.w sentiasa melihatmu.
Dan sekiranya Rasulullah s.a.w telah wafat, amka sesungguhnya Allah swt hidup tiada mati.
Maka bersegeralah bertaubat dan meminta keampunan dari Yang Maha Pengampun.
Dan ketahuilah bahawasanya Allah swt membentangkan rahmat Nya di malam hari untuk mereka yang mahu bertaubat sampai ke siang harinya dan membentangkan rahmat Nya di siang hari bagi mereka yang mahu bertaubat sampai ke malam harinya.
Begitulah seterusnya sampai terbitnya matahari dari barat.
Dan ketahuilah olehmu bahawa cinta kepada Rasulullah bukan hanya sekadar ucapan melainkan dengan amal perbuatan.
Mencintai Rasulullah adalah berpegang denga syariat,
Sembunyi atau terang tetap lekat terikat.
Menghidupkan sunnahnya adalah cinta yang hakikat,
Di dalam hatimu, fikiran dan juga kalimat.
Bismillah
Baik, siapa yang rasa-rasa pernah terbaca pamplet kat atas? Kalau pernah terbaca, alhamdulillah. Sebab kadang kala kita pandang remeh pada pamplet atau lembaran-lembaran yang orang bagi. Tak kiralah yang arab bagi atau melayu bagi. Kalau takut ada lambang Ikhwanul Muslimin, bolehlah potong sikit logo dia, jangan sebab yang sikit, yang berharga kita buang. Kalau di kuliah dentist ni, memang biasa dah pelajar tullab Ikhwanul Muslimin bagi risalah dan tazkirah dalam kelas. Jadi atas usaha mereka yang hebat, kita bolehlah sedikit sebanyak mendapat manfaat atas kelemahan kita yang juga hebat.
Ilmu Allah itu pelbagai, di mana saja Allah boleh beri. Kadang kala seseorang dapat ilmu yang orang lain tak dapat. Supaya kesedaran timbul bahawa tiada siapa yang lengkap dan perlu terus menerus mencari ilmu. Dan sepatutnya seorang yang menuntut ilmu itu, semakin banyak dia menuntut, semakin rasa sedikit ilmunya. Bak kata pepatah, semakin berisi semakin menunduk. Orang yang berilmu adalah orang yang punya kefahaman, beramal, dan menyebarkan. Itulah yang sepatutnya dipanggil berilmu.
Marilah sama-sama kita penuhi yang kurang, dan saling membantu. Yang salah dibetulkan, yang betul dikuatkan lagi. Biarpun sudah diulang ucapan atau tulisan serupa ini berjuta kalinya, peringatan perlu sentiasa diberi dari semasa ke semasa kerana kita mengimani bahawa iman itu naik dan turun. Kadang kala perhitungan kita salah, maka janganlah kerana salah yang satu, semuanya ditolak ditendang.
Selangkah lagi harapnya.
Nur Muhammad Abrar bin Mahmud
Mansurah, Mesir. 10.11.2009



































